Pan Merchant teruskan rancangan pengembangan ke AS, Eropah

Berita Harian Online - 26 June 2025 View original article

_________________________

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian penapisan pepejal-cecair, Pan Merchant Bhd berkata, ketegangan geopolitik yang berterusan tidak akan menjejaskan rancangan pengembangan antarabangsanya, sebaliknya ia akan diteruskan terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kerana perniagaan teras mereka kekal stabil dan berdaya tahan.

Pengarah Eksekutif Pan Merchant, Wong Nyeon Thiat, berkata syarikat itu tidak menjangkakan sebarang kesan yang ketara daripada ketidaktentuan tersebut, memandangkan perniagaannya kekal stabil secara konsisten.

"Industri lain yang kami bakal terokai ialah tenaga boleh ubah, iaitu menggunakan minyak masak terpakai atau minyak masak terpakai diproses untuk proses selanjutnya menjadi minyak penerbangan yang mampan. Kami melihat potensi pertumbuhan dalam bidang tersebut.

"Di Eropah dan AS, industri ini sedang berkembang kerana ia sangat dikawal oleh dasar. Apabila negara mengguna pakai semua tenaga boleh baharu ini, banyak projek seperti ini akan dibangunkan semula," katanya pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.

Pada 9 pagi tadi, syarikat itu membuat penampilan sulung di Pasaran ACE pada 23.5 sen, dengan diskaun sebanyak 3.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 27 sen, dan 187,600 saham diniagakan.

Nyeon Thiat berkata, pelbagai faktor termasuk perang, ketidaktentuan dasar dan tarif menjejaskan harga pembukaannya.

"Tetapi kami percaya bahawa pasaran akan mengiktiraf potensi jangka panjang Pan Merchant tidak lama lagi dan ia akan dicerminkan dalam prestasi harga saham kami," katanya.

Mengenai kesan tarif AS terhadap syarikat, Pengarah Urusan, Wong Voon Ten, berkata kesannya tidak begitu ketara kerana kebanyakan pendapatannya adalah dari Malaysia.

"Sebenarnya kami bersaing dengan rakan dari Eropah. Jadi, kesannya hanya kira-kira empat peratus, yang mampu kami uruskan, terutamanya kerana kami menikmati margin yang kukuh pada produk kami yang memasuki pasaran AS.

"Kami menghasilkan peralatan berkualiti pada paras harga yang kompetitif bagi Malaysia dan Asia, yang memberikan kami margin yang baik di AS," katanya.

Pada 6 Mei 2025, kumpulan itu berkata nilai perolehan dalam kontraknya berjumlah RM69.6 juta, terdiri daripada tempahan peralatan penapisan, alat ganti dan kerja keluli, yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Nyeon Thiat berkata, nilai perolehan dalam kontrak itu terbahagi kepada tiga segmen iaitu minyak makan, bahan api mampan dan air, dengan syarikat merancang untuk meneroka dalam sektor lain dan fokus utama ialah air sebagai bidang pengembangan utamanya.

"Bagi tempoh satu atau dua suku pertama seterusnya, kami sedang meneliti beberapa projek yang mempunyai potensi, di peringkat tempatan dan serantau, merentasi negara Asia Pasifik. Kami juga akan meneroka bidang perlombongan, dan inisiatif terbaharu kami ialah penyertaan dalam pameran perlombongan seperti di Kazakhstan, yang dilihat mempunyai potensi yang kukuh," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu percaya aktiviti perlombongan akan terus berkembang di Asia Tengah, dan Kazakhstan, Australia serta Indonesia sudah mempunyai operasi perlombongan yang ketara. Oleh itu, ia sedang berusaha untuk meneroka dan mengembang dalam pasaran tersebut.

Read here.

Previous
Previous

Pan Merchant eyes mining, water filter markets to grow market share

Next
Next

Pan Merchant falls 15% on ACE Market debut after underwhelming IPO