Pan Merchant lancar IPO Pasaran Ace, sasarkumpul dana sehingga RM67 juta
DagangNews.com - 6 June 2025 View original article
_________________________
KUALA LUMPUR 6 Jun — Penyedia rumusan penapisan pepejal-cecair, Pan Merchant Berhad melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sasaran untuk mengumpul dana sehingga RM67.6 juta.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1987 dengan memiliki tiga fasiliti pengeluaran di Ipoh, Perak itu dijadual disenaraikan pada 26 Jun 2025, dengan menetapkan harga IPO kepada 27 sen sesaham meliputi 250.2 juta saham.
Pelaksanaan IPO itu terdiri daripada sebanyak 232.2 juta saham baharu dan 18.0 juta saham tawaran untuk dijual dengan jumlah bilangan saham mewakili kira-kira 27.3 peratus daripada modal saham diperbesarkan.
Daripada saham baharu itu, 114.5 juta ditawarkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 57.3 juta diperuntukkan kepada pelabur terpilih.
Selain itu, 45.8 juta saham baharu akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, sementara 14.6 juta saham baharu disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan penyumbang yang berkelayakan.
Sebanyak RM28.0 juta daripada hasil IPO itu bakal digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi kilang pembuatan, termasuk pemerolehan mesin, peralatan dan alatan, serta pengubahsuaian kemudahan pembuatannya.
Di samping itu, kira-kira RM7.0 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembangunan produk manakala RM27.7 juta digunakan bagi pengembangan perniagaan, modal kerja am dan membiayai perbelanjaan penyenaraian di bursa.
Pada pelancaran prospektus itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pan Merchant, Wong Voon Ten berkata, IPO tersebut menandakan permulaan fasa baharu dalam strategi pertumbuhan syarikat bagi meningkatkan keupayaan pembuatan.
“Sejak penubuhan, kami mengalami pertumbuhan luar biasa, berkembang daripada penapis pemasaran dan penjualan ejen kepada sebuah syarikat multinasional di bawah nama dagangan PMI, bersaing di peringkat global," katanya.
Melalui IPO itu katanya, kumpulan berhasrat kekal di hadapan dalam industri, memberikan penekanan kuat kepada penyelidikan dan pembangunan serta menambah baik prestasi produk dalam menangani permintaan pelanggan.
A]n Hwang Investment Bank telah dilantik untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk pelaksanaan IPO kumpulan berkenaan.
Read here.