Pan Merchant sasar RM67.6 juta menerusi IPO, tumpu pasaran AS, Eropah

Berita Harian Online - 6 June 2025 View original article

_________________________

KUALA LUMPUR: Pan Merchant Bhd, penyedia penyelesaian penapisan pepejal-cecair terkemuka negara, menyasarkan kutipan sehingga RM67.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dalam usaha mengembangkan pengaruhnya ke pasaran global, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Langkah penyenaraian itu melibatkan terbitan 232.2 juta saham biasa pada harga 27 sen sesaham.

Pengarah Urusan Pan Merchant, Wong Voon Ten, berkata penyenaraian ini adalah strategi penting untuk melonjakkan syarikat ke fasa pertumbuhan seterusnya, dengan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R\&D), automasi serta pengenalan barisan pengeluaran baharu.

"Melalui IPO ini, Pan Merchant akan memacu pengembangan ke pasaran antarabangsa, terutamanya AS dan Eropah yang menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan," katanya ketika melancarkan prospektus IPO syarikat itu.

Daripada jumlah keseluruhan dana RM67.6 juta yang disasarkan, RM62.7 juta akan diperoleh oleh Pan Merchant, manakala RM4.9 juta adalah hasil daripada penjualan saham tawaran oleh pemegang saham sedia ada.

Sebanyak RM28 juta daripada hasil kutipan akan digunakan untuk perbelanjaan modal, termasuk pembelian mesin dan kelengkapan serta kerja ubah suai kilang, manakala RM7 juta diperuntukkan untuk pembangunan produk.

Baki RM27.7 juta pula akan digunakan untuk peluasan perniagaan, modal kerja am dan menampung kos penyenaraian.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Wong Nyeon Thiat, berkata pihaknya optimis untuk meningkatkan pegangan pasaran global daripada 0.5 peratus ketika ini kepada antara dua hingga tiga peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Mengulas mengenai cabaran tarif import ke AS, beliau menjelaskan bahawa jurang kadar tarif antara Malaysia (24 peratus) dan pesaing utama dari Eropah (20 peratus) adalah kecil dan pihaknya yakin strategi syarikat mampu menampung perbezaan itu.

"Walaupun terdapat tarif, kami yakin impaknya adalah minimum dan kami kekal berdaya saing dalam pasaran AS," katanya.

Permohonan untuk IPO Pan Merchant dibuka bermula hari ini, 6 Jun 2025, dan akan ditutup pada 17 Jun 2025 jam 5 petang.

Saham Pan Merchant dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Jun 2025.

Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal serta penaja jamin tunggal bagi penyenaraian itu.

Read here.

Previous
Previous

Family-run Pan Merchant begins accepting IPO applications at 27 sen per share

Next
Next

Pan Merchant Seeks To Raise RM67.6 Million From Ace Market